Info Terkini

SELAMAT DATANG KE SEKOLAH KEBANGSAAN BERISU, SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN FASA 8,78100 LUBOK CHINA, MELAKA

Latar Belakang Sekolah

   Sekolah Kebangsaan Berisu terletak berhampiran dalam daerah Alor Gajah. Nama asalnya ialah Sekolah Melayu Berisu yang diasaskan pada tahun 1908. Bangunannya bertaraf sementara dan dibina secara gotong royong dengan dibantu oleh Badan Agama, Ahli Perniagaan dan Orang Perseorangan.

   Tokoh terpenting yang mengasaskan sekolah ini ialah Datuk Penghulu Latin. Keramaian murid ketika sekolah ini dibuka ialah 80 orang dengan tenaga pengajarnya seramai 3 orang. Darjah tertinggi ketika itu hanya setakat Darjah 5. Guru Besar pertama ketika itu ialah Cikgu Md.Isa.

   Luas tapak kawasan sekolah yang terawal ialah setengah ekar. Selepas itu berpindah ke tapak baru. Perpindahan ke tapak baru yang terletak kira-kira setengah kilometer dari yang lama berlaku pada tahun 1926. Keluasan tapak baru yang ada sekarang ini ialah 2 ekar 3 rd 36 p. Pada tahun 1961 dibina bangunan tambahan separuh kekal satu tingkat. Sekarang ini bangunan tersebut dijadikan Dewan. Pada tahun 1983 bangunan kekal 4 tingkat dibina atas usaha Guru Besar ketika itu iaitu Tn.Hj.Kassim bin Md.Som.

   Pengerusi Lembaga pengurus Sekolah yang pertama ialah Dato’ Sudin bin Ab. Rahman, MBE. PIBG mula ditubuhkan pada tahun 1973 dan pengerusi pertamanya Penghulu Mulop bin Manap.

   Antara murid tua yang berjaya  SAC Dato Zamani bin Abu Samah (Bidang Pentadbiran), Tn. Hj. Harun bin Abu Samah (Bidang Keagamaan) dan En. Mahmud bin Lengong (Bidang Perguruan).

    Kini infrastruktur Sekolah Kebangsaan Berisu telah bertambah serta dinaik taraf kemudahan yang telah usang. Pada Oktober 2013, hasil usaha keras guru besar iaitu En Bahrin Bin Hj Pakiri, sebuah surau baharu hasil sumbangan syarikat korporat serta beberapa penderma individu telah dibina berhampiran dewan sekolah. Dengan adanya surau ini, dapatlah guru-guru menjalankan aktiviti keagamaan dengan lebih baik.

   Bermulanya dari tahun 2011, sekolah ini telah berada di puncak kegemilangannya. Dengan pencapaian 100% lulus dalam UPSR untuk 3 tahun berturut-turut serta mendapat bilangan calon UPSR yang ramai memperoleh gred A dalam mata pelajaran. Atas kejayaan tersebut, sekolah ini telah menerima Tawaran Baru Guru Besar (Bai'ah) untuk 3 tahun berturut-turut dari 2011 hingga 2013.

    Lebih membanggakan, pada tahun 2014, Sekolah Kebangsaan Berisu telah diberi penarafan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan bagi fasa 8. Kebitaraan sekolah dalam bidang akademik adalah Bahasa Melayu manakala kebitaraan dalam bidang kokurikulum adalah bola tampar.